Pemimpin Pembangkang Adalah ‘Rakan Strategik’ – MBJ

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad ketika berucap pada Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini – Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

KOTA ISKANDAR, 6 Disember: Kerajaan Negeri Johor di bawah pentadbiran YAB Menteri Besar, Datuk Haji Hasni Mohammad tidak menganggap pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebagai ‘orang asing’, malah dianggap ‘rakan strategik’ dalam memaju dan memakmurkan negeri Johor.

YAB Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Perikatan Nasional (PN) sentiasa mengamalkan pendekatan terbuka dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak termasuk daripada pemimpin pembangkang.

“Kita menganggap pemimpin PH bukan ‘orang asing’ dalam Kerajaan Negeri Johor. Para pemimpin PH adalah ‘rakan strategik’ dalam memaju dan memakmurkan negeri Johor.

“Sebagai ‘rakan strategik’, kita amat menghargai pandangan walaupun mungkin wujud perbezaan daripada segi pemikiran dan ideologi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14, di sini, hari ini.

YAB Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, Kerajaan Negeri Johor turut mengiktiraf peranan pembangkang sebagai penyemak dan pengimbang (check and balance) kepada kewujudan kerajaan.

“Dalam beberapa hari persidangan Dewan Undangan Negeri berlangsung, saya amat berterima kasih atas pandangan dan teguran yang diberikan. Ini adalah ruang demokrasi yang sebenar.

“Atas pemikiran inilah, kita mahu memberi keabsahan kepada barisan pembangkang dengan menaikkan peruntukan sebanyak RM150,000 bertujuan untuk menjayakan pengurusan dan program berkebajikan, tanpa sebarang halangan di kawasan-kawasan yang diwakili pihak pembangkang.

“Kerajaan Negeri menyedari bahawa isu yang berkaitan dengan COVID-19 semakin serius. Sehubungan dengan itu, peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 diberi secara ‘one-off’ kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata, Persidangan Dewan Negeri Johor ketika ini turut menunjukkan keunikan dan keistimewaan politik Johor.

“Buat pertama kali dalam sejarah, negeri Johor mempunyai Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri yang berlainan parti dan ideologi politik. Mereka bukan anggota parti yang memerintah.

“Namun begitu, atas tagline ‘Muafakat itu Berkat’, kita dapat menyaksikan sistem demokrasi berjalan dengan licin dan lancar. Natijahnya, permuafakatan politik Bangsa Johor kelihatan lebih matang dan terbuka,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *