Johor Sudah Sedia, Mampu Lakukan 30,000 Ujian Swab Sehari

Foto Muhammad Razif Razali/ MEDKOM

KOTA ISKANDAR, 6 Disember: Kerajaan Negeri Johor sudah bersedia sekiranya Kerajaan Persekutuan dan Singapura bersetuju untuk membuka semula sempadan antara kedua-dua negara bagi skim ulang-alik harian, iaitu ‘Daily Commutting Arrangement’ (DCA).

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, bagi memastikan skim DCA dapat dilaksanakan, Kerajaan Negeri Johor telah menyediakan kapasiti antara 10,000 hingga 30,000 ujian swab dapat dilakukan setiap hari, hasil kerjasama dengan makmal-makmal persendirian yang diakreditasi oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Menurutnya, Kerajaan Negeri Johor telah mengesyorkan prosedur operasi standard (SOP) bagi skim DCA kepada Kementerian Luar Negeri pada 26 Oktober 2020 dan 9 November 2020.

“Sekiranya boleh dilaksanakan, maka SOP tersebut akan dibentangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebelum dibawa berunding dengan Kerajaan Singapura.

“Pada peringkat permulaan, pengenalan SOP DCA ini memberi fokus bagi kategori pekerja dan kategori pelajar. Pekerja, pelajar dan ibu bapa bagi pelajar boleh keluar dan masuk ke Johor dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14, di sini, hari ini.

YAB Menteri Besar berkata, walapun isu pembukaan sempadan antara Johor dengan Singapura merupakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeri Johor amat prihatin dan insaf terhadap kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

“Usaha-usaha ini juga membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Johor sentiasa berusaha dan komited dalam memastikan usaha pembukaan sempadan dapat direalisasikan tanpa mengetepikan kepentingan kesihatan dan keselamatan rakyat,” katanya. – Makmur Johor

This post was published by makmurjohor.com


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *